fb fb fb fb fb

Pola komunikasi suami isteri bentuk keharmonian rumah tangga

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Komunikasi merupakan nadi utama dalam hubungan perkahwinan. Ia bukan sekadar pertukaran kata-kata, tetapi mencerminkan cara pasangan memahami, menilai dan bertindak balas terhadap emosi serta keperluan masing-masing.

Dalam bidang komunikasi kekeluargaan, terdapat tiga pola komunikasi utama yang lazimnya wujud dalam kalangan pasangan suami isteri, khususnya dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Pola tersebut bukan sahaja mempengaruhi kualiti hubungan, malah turut menentukan sejauh mana konflik dapat diurus secara sihat atau sebaliknya.

Komunikasi Konstruktif: Asas Perkahwinan Sejahtera

Pola komunikasi konstruktif dianggap sebagai pola yang paling sihat dan berkesan dalam perhubungan suami isteri. Dalam pola ini, pasangan bersedia dan berupaya berkomunikasi secara terbuka, saling mendengar, menghormati pandangan berbeza dan mencari penyelesaian bersama walaupun ketika berlaku konflik. Perbincangan dilakukan dengan nada terkawal, fokus kepada isu dan tidak menyerang peribadi pasangan.

Dalam konteks Islam, komunikasi konstruktif selari dengan prinsip musyawarah, ihsan dan adab dalam berbicara. Pasangan tidak mengelak konflik, sebaliknya melihat perbezaan pendapat sebagai ruang untuk memperbaiki hubungan. Pasangan yang mengamalkan komunikasi konstruktif cenderung mempunyai tahap kepuasan perkahwinan lebih tinggi, keakraban emosi yang lebih kukuh serta keupayaan menyelesaikan konflik secara matang.

Namun, komunikasi konstruktif bukan berlaku secara spontan. Ia memerlukan kemahiran berterusan seperti empati, kawalan emosi, keupayaan mendengar secara aktif dan kesediaan untuk bertolak ansur. Tanpa kemahiran ini, pasangan mudah terjerumus ke dalam pola komunikasi yang kurang sihat.

Pola Mendesak–Mengundur Diri: Konflik Senyap Berpanjangan

Ada pasangan suami isteri yang bila berbincang, seorang suka mendesak dan menuntut jawapan, manakala seorang lagi lebih selesa berdiam diri atau mengundur diri. Nampak sperti memilih cara untuk mengelak bergaduh, tetapi sebenarnya ia boleh jadi punca konflik senyap yang berlarutan.

Biasanya, pasangan yang mendesak berasa tidak didengari, lalu meninggikan suara atau melontarkan kata-kata yang menyakitkan. Sebaliknya, pasangan yang mengundur diri pula berasa tertekan atau bimbang keadaan jadi lebih buruk. Akhirnya, masalah tidak selesai, sebaliknya dipendam.

Pola ini sering timbul kerana tekanan hidup, kegagalan mengawal emosi, atau pengalaman komunikasi negatif yang berulang. Untuk keluar daripada kitaran ini, pasangan perlu belajar mengawal emosi dengan bijak, berkomunikasi dengan lebih tenang, dan jika perlu berusaha mendapatkan bantuan kaunseling yang berkredibiliti. Komunikasi yang sihat bukan saja menyelesaikan masalah, tapi juga menguatkan kasih sayang dalam keluarga.

Dalam tempoh jangka panjang, amalan pola komunikasi mendesak-mengundur diri ini boleh mewujudkan jurang emosi, rasa tidak puas hati dan kekecewaan yang mendalam. Pasangan mungkin masih tinggal bersama, namun hubungan menjadi hambar dan penuh ketegangan yang dibiarkan senyap, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dalam konteks keluarga Islam, keadaan ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga dan memberi kesan kepada kesejahteraan anak-anak. Maka, kawal emosi negatif dengan hikmah!

Mengelak Bukan Jalan Selamat

Pola komunikasi mengelak antara pasangan suami isteri merujuk kepada kecenderungan untuk menghindari perbincangan isu yang sensitif atau menimbulkan konflik. Pasangan mungkin memilih untuk diam, menukar topik, atau memberi jawapan ringkas tanpa menyentuh inti asal masalah. Tindakan ini biasanya dilakukan untuk menjaga keharmonian sementara, tetapi boleh menimbulkan jurang dalam hubungan jika berlarutan.

Dalam jangka pendek, pola ini mungkin dilihat sebagai cara mengelakkan pertengkaran. Namun, apabila isu tidak dibincangkan secara terbuka, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati, salah faham, dan bermulanya ketidakpercayaan. Pasangan yang sering mengelak berkomunikasi berisiko membina dinding emosi yang menjauhkan mereka antara satu sama lain.

Untuk merendahkan risiko pola ini, pasangan perlu belajar mengurus emosi dan membina keberanian berkomunikasi secara jujur. Menggunakan pendekatan empati, mendengar dengan penuh perhatian, serta memilih masa sesuai untuk berbincang. Dengan komunikasi terbuka, pasangan bukan sahaja menyelesaikan masalah, tetapi juga mengukuh hubungan akrab dan kepercayaan dalam rumah tangga.

Muhasabah Murninya Perkahwinan

Memahami pola komunikasi dalam perkahwinan adalah langkah penting ke arah membina rumah tangga yang sejahtera. Komunikasi konstruktif bukan sahaja membantu menyelesaikan konflik, malah mengukuh ikatan emosi dan spiritual antara suami isteri. Sebaliknya, pola komunikasi mendesak dan mengelak–mengundur diri wajar dicermati sebagai isyarat awal yang memerlukan perhatian dan kebijaksanaan dalam menyantuninya.

Dalam dunia yang semakin mencabar, pasangan suami isteri perlu sedar bahawa keharmonian rumah tangga bukan bergantung kepada ketiadaan konflik, tetapi kepada cara konflik diurus melalui komunikasi yang beradab, berhemah dan berlandaskan nilai agama. Dengan komunikasi yang betul, perkahwinan bukan sekadar bertahan, tetapi berkembang sebagai sumber ketenangan dan rahmah.

Saat 2025 melabuhkan tirainya, biarlah kita sebagai pasangan suami isteri melangkah ke tahun 2026 dengan azam bersama – menjadikan komunikasi lebih ceria, penuh kasih dan menyeronokkan. Semoga setiap perbualan menjadi jambatan kebahagiaan, mengukuhkan manisnya perkahwinan serta membawa kesejahteraan buat keluarga yang kita cintai, dengan penuh keberkatan dan kasih sayang daripada Allah SWT.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

RAHMAHTUNNISAH SAILIN
Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI