SAUDARA PENGARANG
Sebagai anak jati Taiping, terdapat beberapa tempat di dalam bandar Taiping yang sentiasa kekal dalam ingatan, walaupun kehidupan dan kerjaya telah membawa saya ke pelbagai pelosok tempat lain di dalam dan luar negara. Bagi saya, Zoo Taiping ialah salah satunya.
Ia bukan sekadar tarikan pelancongan atau lokasi lawatan keluarga di bandar Taiping, tetapi Zoo Taiping merupakan di antara ruang kehidupan yang membesar bersama saya yang menyimpan makna dan kenangan,.
Hari ini, Zoo Taiping bukan sekadar sebuah zoo, malah berperanan sebagai hentian komuniti terbaharu di Taiping. Namun hakikatnya, zoo ini telah lama menjadi sebuah hentian, jauh sebelum istilah “hentian komuniti” tercipta.
Ia adalah sebuah tempat untuk anak-anak mengenal alam, seseorang yang ingin mencari ketenangan, atau sekadar berjalan perlahan sambil memerhati kehidupan lain.
Bagi generasi saya dan generasi sebelumnya, zoo ini adalah di antara memori awal yang mencipta pengalaman. Lawatan sekolah, lawatan bersama keluarga, dan keterujaan melihat haiwan buat pertama kali membentuk pengalaman kolektif anak-anak.
Namun, apabila usia meningkat, pengalaman di zoo juga berubah. Kita tidak lagi sekadar melihat haiwan, tetapi mula memahami konteks tentang penjagaan, tentang batas antara manusia dan alam, dan tentang tanggungjawab yang datang bersama kuasa manusia mengurus makhluk hidupan yang lain.
Di sinilah peranan zoo sebagai institusi pendidikan tidak formal menjadi sangat signifikan. Zoo Taiping mendidik tanpa bersuara. Ia mengajar melalui pengalaman.
Melalui susun atur ruang, papan maklumat, interaksi visual dan kehadiran haiwan itu sendiri, pengunjung belajar tentang kepelbagaian spesies, habitat semula jadi dan kepentingan pemuliharaan.
Pendidikan seperti ini sering kali lebih berkesan kerana ia berakar pada emosi dan pengalaman sebenar, bukan sekadar teori.
Dari sudut dasar dan perancangan bandar, kewujudan zoo dalam bandar bersejarah seperti bandar Taiping memainkan peranan yang sangat strategik.
Ia bukan sahaja melengkapkan rangkaian ruang hijau dan rekreasi di Taman Tasik Taiping, tetapi juga menyumbang kepada agenda kelestarian bandar.
Zoo yang diurus dengan baik boleh menjadi platform pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan awam dan kesedaran tentang biodiversiti yang merupakan isu yang semakin kritikal dalam menghadapi perubahan iklim dunia dan kemusnahan habitat.
Zoo Taiping juga sebati dengan identiti bandar Taiping itu sendiri. Taiping dikenali sebagai bandar hujan, tasik dan kehijauan. Zoo ini tidak terasing, tetapi menyatu dengan landskap bandar, sejarah kolonial dan kehidupan harian penduduk.
Ia adalah sebahagian daripada memori kolektif, sama seperti Taman Tasik Taiping, sekolah-sekolah lama dan jalan-jalan yang membentuk struktur bandar ini,.
Konsep hentian komuniti memberikan lensa baharu untuk memahami peranan zoo pada hari ini. Hentian komuniti bukan hanya tempat singgah fizikal, tetapi ruang sosial yang inklusif tempat pertemuan pelbagai generasi, latar belakang dan keupayaan.
Ia menyediakan ruang untuk berehat, belajar, berinteraksi dan membina rasa memiliki. Zoo Taiping memenuhi semua ciri ini secara semula jadi.
Kanak-kanak belajar tentang alam. Ibu bapa membina kenangan bersama keluarga. Warga emas menemui ruang untuk berjalan dan berinteraksi. Pelajar dan penyelidik melihat potensi pendidikan dan konservasi.
Dalam satu ruang yang sama, pelbagai fungsi sosial berlaku tanpa perlu direka secara berlebihan. Inilah kekuatan sebenar sebuah hentian komuniti yang berakar pada sejarah and keperluan setempat.
Bagi saya secara peribadi, zoo ini mengajar tentang perjalanan kehidupan. Dahulu penuh rasa kagum, kini disertai kesedaran dan tanggungjawab.
Kehidupan haiwan yang dipelihara mengingatkan kita bahawa setiap makhluk mempunyai kitarannya sendiri iaitu saya lahir, membesar, menua dan kemudian pergi. Ia adalah refleksi halus tentang kehidupan manusia itu sendiri.
Dalam konteks pemuliharaan, zoo hari ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem konservasi yang lebih luas. Ia bukan pengganti habitat semula jadi, tetapi ruang perantaraan untuk pendidikan, penyelidikan dan perlindungan spesies tertentu.
Sokongan dasar, pembiayaan berterusan dan penglibatan komuniti amat penting untuk memastikan zoo terus relevan, beretika dan berfungsi dengan baik.
Zoo Taiping, sebagai hentian komuniti di Taiping, berpotensi menjadi contoh bagaimana warisan bandar, konservasi dan kesejahteraan sosial boleh digabungkan.
Ia menunjukkan bahawa pembangunan tidak semestinya mengorbankan alam, dan pemuliharaan tidak perlu terpisah daripada kehidupan harian masyarakat. Sebaliknya, kedua-duanya boleh saling menguatkan.
Bagi anak jati Taiping seperti saya, Zoo Taiping bukan sekadar tempat untuk dilawati. Ia adalah sebuah hentian kehidupan, tempat kita belajar tentang alam, tentang tanggungjawab, dan tentang makna hidup bersama secara lestari.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof Madya Dr Yong Adilah Shamsul Harumain
Fakulti Alam Bina
Universiti Malaya
e-mel:
