SAUDARA PENGARANG
Komunikasi di tempat kerja sering dikaitkan dengan semangat kerjasama dalam pelaksanaan tugas. Namun, ada satu aspek kritikal yang sering dipandang ringan iaitu penetapan batasan (boundaries). Dalam suasana kerja yang pelbagai latar belakang, mesej mudah disalah tafsir dan nada suara boleh disalah erti. Bila batasan tidak jelas, perkara kecil boleh bertukar menjadi konflik besar yang menggugat keharmonian organisasi.
Profesionalisme bermula dengan kebijaksanaan memahami di mana garis batas perlu ditetapkan. Batasan membolehkan warga kerja berkomunikasi secara berhemah tanpa menjejaskan fokus terhadap peranan masing-masing. Ia merangkumi penggunaan bahasa sopan, menghormati heirarki organisasi, serta memisahkan emosi peribadi daripada isu kerja.
Mengurus Masa, Beban Tugas dan Emosi
Satu lagi aspek penting ialah kecekapan mengurus masa, beban kerja dan emosi. Reaksi impulsif terhadap kritikan sering mencalarkan kredibiliti profesional. Lebih baik berfikir sejenak sebelum memberi respons secara tenang kerana ia mencerminkan kematangan dan kecerdasan emosi.
Selain itu, kemampuan menolak permintaan yang tidak munasabah secara berhemah juga penting. Walaupun sukar untuk mengatakan “tidak”, tindakan ini wajar supaya kerja lebih produktif dan beban tidak bertambah. Kesedaran terhadap keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance) turut mengukuhkan etika profesional.
Membezakan Teguran - Serangan Peribadi
Dalam dunia kerja, maklum balas dan teguran biasanya bertujuan meningkatkan prestasi, bukan menjatuhkan maruah. Namun, tanpa batasan yang jelas, teguran mudah dianggap serangan peribadi. Apabila pekerja menilai komunikasi secara objektif, mereka lebih bersedia memberi respons konstruktif dan mengelakkan ketegangan yang tidak berasas.
Teguran di tempat kerja sebenarnya adalah sebahagian daripada budaya profesional yang sihat. Ia bertujuan membantu pekerja memperbaiki kelemahan, meningkatkan mutu kerja, dan menyesuaikan diri dengan standard organisasi. Teguran yang baik biasanya disampaikan dengan bahasa yang neutral, fokus kepada isu kerja, dan disertakan cadangan penyelesaian.
Sebaliknya, serangan peribadi berlaku apabila teguran disampaikan dengan nada menghina, menyentuh hal peribadi, atau menggunakan kata-kata yang menjatuhkan maruah. Contohnya, “Awak memang tak pernah buat kerja dengan betul” atau “Sikap awak memang menyusahkan orang lain.”
Serangan sebegini tidak lagi berkaitan dengan prestasi kerja, tetapi lebih kepada menyerang individu. Ia boleh menimbulkan rasa rendah diri, tekanan emosi, dan akhirnya mencetuskan konflik yang tidak perlu.
Bahasa dan Nada: Punca Konflik Tersembunyi
Konflik di tempat kerja sering tercetus akibat nuansa bahasa; sama ada antara pihak atasan dengan pekerja bawahan atau sesama rakan sekerja. Nada intonasi yang salah boleh menimbulkan salah faham. Penggunaan kata-kata kesat atau panggilan yang menjatuhkan maruah perlu dijauhi. Batasan yang utuh dalam komunikasi menjamin suasana kerja yang harmoni dan hubungan profesional yang lestari.
Dalam konteks kerja moden di Malaysia, sensitiviti bahasa juga berkait rapat dengan kepelbagaian budaya dan generasi. Pilihan kata yang dianggap neutral oleh satu kumpulan mungkin dirasakan kasar oleh kumpulan lain. Begitu juga nada mesej dalam komunikasi digital seperti e-mel atau aplikasi mesej whatsapp, yang sering tidak membawa intonasi suara dan mudah disalah tafsir sebagai dingin atau keras.
Justeru, pekerja perlu lebih berhati-hati memilih kata, menggunakan tanda baca yang sesuai, serta menambah elemen empati seperti ucapan terima kasih atau penjelasan ringkas. Langkah kecil ini mampu mengurangkan risiko salah faham dan mengekalkan keharmonian komunikasi di tempat kerja.
Fenomena Semasa - Ruang dan Gaya Bekerja
Sejak pandemik COVID-19, banyak organisasi di Malaysia mula mengamalkan konsep kerja fleksibel; sama ada bekerja dari rumah, pejabat satelit, atau secara hibrid. Walaupun memberi kebebasan, ia juga menimbulkan cabaran baharu dalam penetapan batasan komunikasi.
Pertama, pekerja sering berdepan dengan budaya kerja online - seringkali mesej kerja dihantar di luar waktu pejabat. Tanpa batasan jelas, pekerja boleh mengalami tekanan kerana sukar membezakan masa kerja dengan masa peribadi.
Kedua, komunikasi digital melalui aplikasi seperti WhatsApp atau Microsoft Teams kadangkala membawa nada yang berbeza berbanding komunikasi bersemuka, lalu meningkatkan risiko salah tafsir.
Oleh itu, organisasi di Malaysia perlu menetapkan garis panduan komunikasi digital yang jelas. Contohnya, waktu rasmi untuk mesej kerja, penggunaan saluran komunikasi yang sesuai, serta etika bahasa dalam talian. Langkah ini bukan sahaja melindungi kesejahteraan pekerja, tetapi juga memastikan produktiviti kekal tinggi dalam era kerja fleksibel.
Muhasabah dengan Hikmah
Organisasi yang menitikberatkan penetapan batasan akan memupuk budaya produktiviti, rasa saling percaya, dan hormat yang tinggi. Thomas Erikson dalam bukunya Surrounded by Idiots menjelaskan bahawa kebanyakan isu komunikasi berpunca daripada perbezaan gaya tingkah laku, bukan masalah intelek.
Komunikasi profesional bukan sekadar apa yang disampaikan, tetapi bagaimana ia disampaikan, diterima, dan diurus. Dengan batasan yang sihat, banyak konflik dapat dielakkan dan suasana kerja kekal beretika serta efektif.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Nidana Yahya
PensyarahJabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: 
Nur Shafiqah Abdullah
Pensyarah
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
Batasan dalam komunikasi, kunci harmoni di tempat kerja
powered by social2s
