fb fb fb fb fb

1.8 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji di Selangor

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor, 1445H/2024 di Masjid Sultah Salahuddin Abdul Aziz Shah/BERNAMA

SHAH ALAM, 28 April- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah seramai 1.8 juta orang pendeposit Lembaga Tabung Haji bagi negeri Selangor, melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM18.797 bilion.

Baginda bertitah, seramai 8,061 orang daripadanya merupakan jemaah yang layak menunaikan haji pada tahun ini.

Dalam titah berkenaan, Baginda juga menasihatkan bakal jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini agar mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya dengan menjaga kesihatan serta keselamatan diri disamping mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

"Setakat ini, Beta dimaklumkan para jemaah haji Malaysia termasuk daripada Selangor adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Beta berharap tuan dan puan terus mengekalkan disiplin semasa berada di tanah suci nanti demi menjaga nama baik Negeri Selangor dan Malaysia", titah Baginda.

Baginda turut menitahkan Kerajaan Negeri Selangor untuk menaja 36 peserta dalam kalangan asnaf menunaikan haji pada tahun ini.

Terdahulu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli ke Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1445H/2024.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Seramai 31,600 bakal jemaah haji mula mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 20 April hingga 5 Mei 2024.

ROSLINA BINTI DIN