RIYADH, 28 April- Malaysia akan menyuarakan pendirian tegas mengenai keganasan Israel di Gaza dan ketegangan geopolitik di Asia Barat pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kesempatan menerusi WEF dalam menyuarakan pegangan negara terhadap isu semasa yang berlaku di sekitar Asia Barat.
"Saya percaya PM (Anwar) akan menggunakan setiap platform antarabangsa yang signifikan bagi tujuan mengetengahkan kepentingan Malaysia dan juga meluahkan usaha Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu yang sewajarnya, dilaung-laungkan Malaysia dalam bidang geopolitik ketika ini," katanya kepada pemberita di sini.
Jelasnya, ini terutamanya ketika Anwar bakal menyampaikan ucaptama pada Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sesi berkenaan diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Perdana Menteri turut terlibat pada program Dialog Strategi Negara dengan beliau dijangka berinteraksi bersama-sama pemimpin industri dunia.
Ini bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.