fb fb fb fb fb

Air penstabil dan pemangkin pembangunan negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 28 April - Ketidaksamaan agihan sumber air, akses yang terhad kepada bekalan air dan perkhidmatan sanitasi, serta kepincangan pengagihan faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar boleh menjadi penghalang kepada keamanan dan kestabilan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana air merupakan komponen penting yang bertindak sebagai penstabil dan pemangkin untuk pembangunan negara mampan.

"Oleh itu, besar hasrat saya supaya konsep ‘diplomasi air’ diperluaskan kepada pelbagai pihak, dalam memupuk penyelesaian yang inovatif melalui dialog, perkongsian data dan membuat keputusan bersama, agar risiko konflik dapat dikurangkan seterusnya mencapai hasrat ‘Air untuk Keamanan’," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Air Sedunia, di sini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata di Sarawak, sejumlah 46 projek berkaitan air, meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos projek bernilai RM6.01 bilion, telah diluluskan.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini (RP4, 2024) adalah sebanyak RM298 juta.

"Projek-projek yang diluluskan ini, merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek pelbagai skop ini, akan dapat mengatasi isu bencana air, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan serta memberi impak yang positif kepada penduduk Sarawak," katanya.

TETITIA YUSOFF