
NIBONG TEBAL, 25 Jun- Seorang lelaki warga emas berstatus bankrap didakwa di Mahkamah Majistret Jawi di sini atas 207 pertuduhan berkaitan salah guna jawatan sebagai pengarah syarikat.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
- Didakwa menandatangani enam surat setuju terima dan 201 surat-menyurat rasmi tanpa mendedahkan status bankrap.
- Pertuduhan di bawah Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Insolvensi 1967, hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Tertuduh, Tang Wee Tat, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Mengikut pertuduhan, bekas pengurus projek itu didakwa menandatangani enam surat setuju terima dan 201 surat-menyurat rasmi syarikat bagi urusan perniagaan dengan syarikat lain tanpa mendedahkan status bankrapnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Batu Kawan antara November 2021 hingga Mei 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Insolvensi 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dan menetapkan 28 Julai depan bagi penyerahan dokumen.