Tawar cap imigresen palsu serendah RM70, tiga dalang diberkas

Antara barang rampasan dalam dua serbuan di Kajang dan Kuala Lumpur/Foto JIM

KUALA LUMPUR, 6 November – Tiga individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menjadi dalang dan ahli sindiket pemalsuan cap keselamatan endosmen Imigresen pada 3 November lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi berdasarkan risikan selama sebulan di Kajang dan Pandan Perdana, dijalankan sekitar pukul 11 pagi.
  • Rampasan peralatan pemalsuan: tiga unit cap keselamatan, dua keping getah cap, dua cap tarikh dan lima pad dakwat.
  • Sindiket menyasarkan warga asing tanpa pas sah, terutama warga Thailand, mempromosi perkhidmatan melalui WhatsApp.
  • Bayaran antara RM70 hingga RM100 setiap cap palsu; sindiket berpotensi jana keuntungan sehingga RM15,000 sebulan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia antara 40 hingga 45 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan dua lokasi di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, hasil risikan selama sebulan.

“Beberapa peralatan pemalsuan dirampas termasuk tiga unit cap keselamatan, dua keping getah cap, dua unit cap tarikh serta lima pad dakwat.

“Turut dirampas enam pasport Thailand, satu Pas Sempadan Thailand, lima telefon bimbit dan dua buku catatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dua individu ditahan dalam serbuan operasi pada 3 November lalu/Foto JIM

Menurut Zakaria, siasatan mendapati sindiket menggunakan cap keselamatan endosmen palsu yang menyerupai cap dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket dipercayai menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal lebih masa di negara ini, khususnya warga Thailand.

“Perkhidmatan dipromosikan menerusi aplikasi WhatsApp dengan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu pada pasport pelanggan,” katanya.

Sindiket dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga RM15,000 sebulan.

Seorang lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c), manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.