KPDN Pahang sita 2,000 liter diesel serta lori dan treler

Foto KPDN Pahang

PEKAN, 6 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menyita kira-kira 2,000 liter diesel yang disyaki diseleweng dalam operasi di sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan susulan aduan dan risikan, disyaki penyalahgunaan fleet card serta pemindahan dan penyimpanan diesel tidak mengikut permit.
  • Pemeriksaan mendapati diesel dipindahkan daripada tangki lori ke tempat penyimpanan kilang dan sumber bekalan dipercayai dari beberapa stesen minyak.
  • KPDN mengambil dua tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap pemandu lori dan pemilik kilang; siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, operasi kira-kira pukul 11 pagi itu turut menyaksikan penyitaan sebuah lori bersama treler serta peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM250,000.

“Operasi itu dijalankan susulan aduan dan maklumat risikan berhubung kegiatan disyaki menyalahgunakan kemudahan ‘fleet card’ serta pemindahan dan penyimpanan diesel yang dipercayai tidak mematuhi syarat permit,” katanya dalam satu kenyataan,

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, berlaku pemindahan cecair disyaki diesel daripada tangki lori ke tempat penyimpanan di kilang berkenaan.

“Bekalan diesel itu dipercayai diperoleh menerusi pembelian di beberapa stesen minyak sebelum dibawa ke kilang terbabit,” katanya.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati kilang berkenaan mempunyai permit penyimpanan diesel yang masih sah, namun kaedah perolehan, penerimaan bekalan dan pengurusan rekod stok disyaki tidak mematuhi syarat permit serta peraturan ditetapkan.

Susulan itu, KPDN mengambil dua tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] membabitkan pemandu lori dan pemilik kilang.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan sumber bekalan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.