
MERSING, 6 November – Seorang remaja berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam sungai berhampiran sebuah kolam udang di Jalan Sekakap, Seri Pantai, di sini malam tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.30 malam; 15 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.
- Operasi turut dibantu sebuah jentera dan sebuah bot untuk pencarian di permukaan air sekitar kawasan dipercayai mangsa terjatuh.
- Mayat ditemui pada pukul 7.55 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir, kemudian diserahkan kepada polis.
Komander Operasi Kanan, JBPM Johor, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin memaklumkan panggilan kecemasan diterima pihaknya pada pukul 11.30 malam.
“Seramai 15 pegawai dan anggota telah digerakkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Operasi turut dibantu sebuah jentera dan bot dengan pencarian di permukaan air sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Mangsa, bagaimanapun berjaya ditemukan pada pukul 7.55 pagi tadi, pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir,”katanya.
Mayat mangsa kemudian, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.