
GEORGE TOWN, 1 Sept – Sebanyak 252.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.31 juta dirampas di tiga lokasi berbeza termasuk Hua Hin Thailand, Selangor dan Butterworth Pulau Pinang.
- Kerjasama JSJN PDRM dengan Police Narcotics Suppression Bureau Thailand menerusi Op Zoraptera menumpaskan sindiket rentas sempadan.
- Modus operandi: menyeludup dadah menggunakan kereta yang diubahsuai, dadah disorok dalam ruangan dalaman kenderaan.
- Empat suspek ditahan, tiga didakwa di mahkamah dan seorang dijadikan saksi pendakwaan; beberapa kenderaan disita.
Sindiket rentas sempadan itu berjaya ditumpaskan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB) Royal Thai Police menerusi Op Zoraptera.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata daripada keseluruhan dadah tersebut,166kg merupakan syabu yang dirampas di Thailand pada 8 Ogos lalu,manakala baki 86.2kg lagi dirampas di Malaysia pada 13 dan 14 Ogos lepas.
Empat individu terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 19 hingga 25 tahun ditahan.
“Pada 8 Ogos tahun ini, di Hua Hin District Thailand, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang rakyat Malaysia ditahan menerusi sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa. Selepas diperiksa, satu bungkusan mengandungi 166kg syabu ditemukan. Polis kemudiannya melancarkan Op Zoraptera melibatkan kerjasama di antara dua negara bagi membanteras kumpulan terbabit.
Modus operandi, menyeludup bahan terlarang tersebut dari negara jiran menggunakan kereta yang diubahsuai ruangan dalaman. Dadah terbabit akan disorok di dalamnya. Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan untuk kegunaan 430,000 orang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontingen (IPK) Pulau Pinang di sini.
Beliau berkata, operasi terbabit turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM420,700.
Kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Bagaimapaun seorang suspek didapati positif dadah jenis ketamin.
Tiga daripada empat suspek tersebut telah dituduh di mahkamah manakala seorang lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.