
ALOR SETAR, 2 Februari– Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di Alor Setar sejak 31 Januari lalu.
- Polis mengesan remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang sejak 31 Januari di Alor Setar.
- Keluarga membuat laporan kehilangan pada jam 3 petang Sabtu lalu kepada pihak polis.
- Remaja tidak hadir ke pusat tuisyen seperti kebiasaan sebelum disedari hilang oleh ibu kandung.
- Sesiapa yang ada maklumat diminta hubungi Inspektor Noor Izwa Rohaizat atau Hotline IPK Kedah untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, laporan kehilangan Nur Shifa Tasnim Zurni diterima daripada ahli keluarganya pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
“Remaja itu disedari hilang oleh ibu kandungnya selepas mangsa tidak hadir ke pusat tuisyen di Hutan Kampung, Alor Setar, seperti kebiasaan.
“Nur Shifa berketinggian 156 sentimeter, berat 50 kilogram dan berkulit cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Inspektor Noor Izwa Rohaizat di talian 04-7747222 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di 04-7741222 bagi membantu siasatan.