
SEPANG, 24 Mac — Detik cemas sepasang suami isteri yang tertinggal anak perempuan mereka di hentian rehat (R&R) Sungai Merab, semalam (Isnin), berakhir dengan kelegaan apabila remaja itu berjaya ditemui dengan bantuan anggota polis.
- Anggota polis segera mengiringi pasangan yang pulang semula ke R&R selepas mereka sedar anak tertinggal.
- Dua anggota, Koperal Rodzery dan Lans Koperal Muhammad Amirul, bertindak pantas mencari dan menemui remaja itu dalam keadaan selamat.
- Polis menegaskan komitmen membantu masyarakat demi keselamatan dan kesejahteraan awam, serta keluarga berjaya disatukan semula tanpa kejadian tidak diingini.
Kejadian itu berlaku ketika pasangan berkenaan ditahan di sekatan jalan raya (SJR).
Mereka kemudian memaklumkan kepada anggota polis bahawa perlu berpatah balik selepas menyedari anak bawah umur mereka tertinggal di R&R berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Poolis (ACP) Norhizam Bahaman berkata anggota yang bertugas segera membantu keluarga itu tanpa berlengah.
“Dua anggota polis iaitu Koperal Rodzery Adderly Raden dan Lans Koperal Muhammad Amirul Fazid Mohamed Shukri bertindak pantas mengiringi keluarga terbabit kembali ke lokasi kejadian bagi mencari remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila remaja perempuan tersebut ditemui dalam keadaan selamat.
“Pihak polis sentiasa komited dalam memberikan bantuan kepada masyarakat demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terpelihara,” katanya.
Situasi cemas itu berakhir dengan kegembiraan apabila keluarga itu berjaya disatukan semula tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menerusi video yang tular di media sosial, keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Kluang, Johor Bahru menuju Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi.