494 kes kebakaran terbuka direkodkan di Perlis sejak Januari

Foto FB Balai Bomba Kangar Perlis

KANGAR, 24 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis merekodkan sebanyak 494 kes kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari 2026 sehingga hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca panas dan kering sehingga 38 darjah Celsius meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
  • Pengarah JBPM Perlis lapor 203 kes sejak 1 Mac, menunjukkan peningkatan ketara kebakaran terbuka.
  • Pegawai, anggota dan jentera berada dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran.
  • Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka; kerjasama masyarakat penting bagi keselamatan nyawa, harta dan alam sekitar.

Ini berikutan cuaca panas dan kering yang sedang melanda Perlis ketika ini yang mencecah hingga 38 darjah celcius.

Menurut Pengarah JBPM Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam kenyataannya, daripada jumlah tersebut, 203 kes berlaku dalam tempoh 1 Mac hingga hari ini yang menunjukkan peningkatan ketara kes kebakaran terbuka di Negeri Perlis.

Ketika ini pegawai dan anggota serta jentera berada dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan insiden kebakaran terbuka.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak terkawal, serta sentiasa berhati-hati dalam aktiviti harian yang boleh mencetuskan kebakaran.

Kerjasama masyarakat amat penting bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar.

JBPM Negeri Perlis akan terus komited dalam menjalankan pemantauan, tindakan penguatkuasaan serta operasi pemadaman demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Selain kebakaran terbuka, 126 kes lagi bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Mac melibatkan kebakaran rumah atau bangunan, kenderaan, longgokan sampah, kebun serta lain-lain kebakaran.