
PADAWAN, 21 Ogos – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berdepan hukuman gantung selepas ditahan kerana memiliki 1.08 kilogram (kg) dadah jenis ganja di Batu Kawa, di sini, semalam.
- Suspek berusia 18 tahun ditahan di sebuah apartmen berhampiran MJC kira-kira 11.30 pagi.
- Pemeriksaan menemui beg galas mengandungi bungkusan plastik putih dipercayai berisi ganja.
- Dadah dianggarkan bernilai RM3,240; polis turut menyita sebuah kereta mewah.
- Suspek mengaku akan menerima RM4,000 untuk mengambil bungkusan atas arahan individu dikenali sebagai Franky; kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis di sebuah apartmen berhampiran MJC, kira-kira 11.30 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah beg galas yang mengandungi satu bungkusan plastik putih dipercayai berisi ganja.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,240,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM di Kuching, pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku akan menerima bayaran RM4,000 untuk mengambil bungkusan berkenaan atas arahan seorang individu dikenali sebagai Franky.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta mewah dalam operasi berkenaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.