Peguam veteran maut dalam kebakaran di pejabat guaman

Peguam veteran, Datuk Sam Marikat antara dua manga yang maut dalam kebakaran di Lebuh King, George Town, tengah hari tadi. Foto RTM

GEORGE TOWN, 13 April- Dua warga emas maut dalam kebakaran di sebuah firma guaman di Lebuh King, George Town, tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua mangsa ditemukan di tingkat dua premis.
  • Mangsa pertama, Datuk Sam Marikat, 86, ditemui duduk berhampiran tingkap.
  • Mangsa kedua, kerani Chandra Binwani Jiwatram, 60, ditemukan di tepi dinding di bawah timbunan fail.
  • Asap tebal daripada dokumen kertas dipercayai punca lemas; mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah, kedua-dua mangsa ditemukan di tingkat dua premis berkenaan.

Mangsa pertama, peguam veteran Datuk Sam Marikat, 86 tahun, ditemukan dalam keadaan duduk di atas kerusi berhampiran tingkap pada kira-kira pukul 1.05 tengah hari.

Mangsa kedua yang juga kerani, Chandra Binwani Jiwatram, 60 ditemukan di tepi dinding, dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat terperangkap dalam kepulan asap
tebal.

Menurut Mohamad Shoki, petunjuk awal mendapati punca kematian mereka berkemungkinan akibat terhidu asap.

“Mangsa kedua kita jumpai di tepi dinding di bawah timbunan fail-fail.

Asap memang cukup tebal kerana terdapat banyak dokumen kertas di dalam pejabat tersebut. Kedua-dua mangsa dipercayai maut akibat lemas asap, namun punca
sebenar akan disahkan selepas proses bedah siasat di hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.