
GEORGE TOWN, 3 Mac – Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dikaitkan dengan dakwaan isu salah guna kuasa menerusi pembelian tanah dan salah guna dana wang zakat di Pulau Pinang, hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, pagi tadi.
- Pegawai kanan kerajaan negeri hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang berkaitan dakwaan salah guna kuasa.
- Suspek utama dipercayai terlibat dalam cadangan dan kelulusan pembelian tiga lot tanah bernilai kira-kira RM10 juta.
- Didakwa menyalahgunakan dana zakat melalui Skim Inapan Kasih dan bantuan kewangan.
- Jumlah bantuan yang disalahguna dianggarkan sekitar RM184,000 untuk penyelesaian baki pinjaman perumahan asnaf.
Kenderaan yang membawa pegawai terbabit dilihat memasuki perkarangan pejabat SPRM kira-kira pukul 9.10 pagi.
Bagaimanapun kelibat beliau tidak kelihatan, kerana dipercayai memasuki premis berkenaan dengan menggunakan pintu belakang bangunan.
Semalam, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy mengesahkan seramai 63 individu dipanggil untuk dirakam keterangan.
Pegawai terbabit yang merupakan suspek utama, bersama beberapa yang lain, dipercayai terlibat mencadang serta meluluskan, pembelian tiga lot tanah, pada harga kira-kira RM10 juta.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan dana wang zakat, melalui Skim Inapan Kasih, dan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 bagi bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur ditetapkan zakat negeri.