Operasi carilamat nelayan hilang ditamatkan selepas lima hari

Foto fail Maritim Malaysia

DUNGUN, 31 Ogos – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun, Khamis lalu, ditamatkan sepenuhnya petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencarian meliputi kira-kira 800 batu nautika, termasuk perairan sehingga ke Kuala Terengganu.
  • Pencarian dilakukan melalui operasi udara, permukaan dan selaman di dasar laut sekitar lokasi terakhir.
  • Cuaca dan laut bergelora menyukarkan operasi; pencarian masih diteruskan oleh aset di laut, masyarakat diminta menyalurkan petunjuk.

Operasi memasuki hari kelima itu ditamatkan pada pukul 6 petang selepas pencarian di pelbagai lokasi tidak menemukan sebarang petunjuk berkaitan kedudukan mangsa, Sabrie Rusli.

Menurut kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim, sepanjang tempoh operasi, pasukan SAR telah melakukan pencarian meliputi kawasan perairan kira-kira 800 batu nautika, termasuk sehingga ke perairan Kuala Terengganu.

Menurutnya, pencarian dilakukan menerusi kaedah pencarian dari udara dan permukaan air, selain operasi selaman di dasar laut, khususnya di sekitar lokasi terakhir bot mangsa dikesan.

Usaha itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan perairan berhampiran bagi memastikan setiap petunjuk berkaitan mangsa dapat dikesan.

“Walaupun operasi SAR secara rasmi ditamatkan, pencarian masih diteruskan oleh aset yang beroperasi di laut.

“Kita juga memohon bantuan komuniti nelayan dan komuniti maritim sekiranya mereka menemukan sebarang petunjuk positif untuk memaklumkan kepada pihak kami,” kata kenyataan itu.

Operasi SAR pada hari terakhir membabitkan 76 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan.

Sepanjang lima hari operasi, keadaan cuaca dan laut bergelora turut menyukarkan usaha pencarian, terutama operasi selaman di dasar laut.

Dalam kejadian Khamis lalu, Sabrie dilaporkan hilang selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik akibat dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan di perairan Tenggol.

Mangsa sempat menghubungi isterinya selama kira-kira seminit menerusi telefon bimbit untuk meminta bantuan sebelum gagal dihubungi selepas itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.