
KUALA LUMPUR, 8 September – Status kesemua lima individu yang dipercayai berada dalam helikopter yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang ini masih belum dapat dipastikan.
- Operasi mencari dan menyelamat digerakkan, dibantu penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
- Operasi berdepan cabaran: lokasi terpencil memerlukan perjalanan darat kira-kira sepuluh jam.
- Pengangkutan udara belum boleh dilaksanakan kerana cuaca berjerebu dan tiada kebenaran penerbangan daripada CAAM.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat sedang digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat berdepan cabaran berikutan lokasi kejadian yang terpencil, dengan perjalanan darat dari Marudi mengambil masa kira-kira 10 jam.
“Usaha menggunakan pengangkutan udara juga belum dapat dilaksanakan berikutan keadaan cuaca berjerebu serta tidak mendapat kebenaran penerbangan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari Pangkalan Udara PDRM Kuching,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, maklumat awal mendapati lima individu berada dalam helikopter milik syarikat swasta berkenaan yang disewa bagi memberikan perkhidmatan doktor udara di tiga lokasi iaitu Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi.
Beliau berkata helikopter terbabit terhempas kira-kira pukul 3.32 petang hari ini.
Katanya, pasukan mencari dan menyelamat akan tiba di lokasi kejadian secepat mungkin, manakala butiran lima individu terbabit akan disahkan kemudian.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, CAAM menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan yang membabitkan helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF.
Helikopter yang membawa lima individu termasuk juruterbang ketika itu dalam operasi menjalankan tugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service).