
SHAH ALAM, 24 Ogos – Lima lelaki direman tiga hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes merusuh bersenjata yang mengakibatkan dua lelaki cedera di sebuah kedai makan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Klang, Sabtu lepas.
- Kejadian kira-kira 11.30 malam; dua mangsa berumur 22–26 tahun dipukul oleh beberapa suspek.
- Mangsa mengalami kecederaan pada muka dan hidung, dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata; hukuman hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
- Orang ramai diminta tampil beri maklumat; hubungi Insp Muhammad Amirul Asyraf Salim 010-3381645 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan 03-33762222.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 18 hingga 25 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Klang.
“Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, dua mangsa berusia antara 22 hingga 26 tahun telah dipukul oleh beberapa suspek.
“Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan hidung serta menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp Muhammad Amirul Asyraf Salim di talian 010-3381645, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA