
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kejadian ribut petir dan angin kencang di ibu negara petang tadi mengakibatkan lima kenderaan dihempap pokok tumbang di dua lokasi berasingan.
- JBPM menerima panggilan kecemasan pada 2.50 petang berhubung kejadian pokok tumbang.
- Di Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, sebatang pokok tumbang menimpa empat kereta; tiada mangsa dilaporkan.
- Pokok tumbang juga menghalang laluan di Lebuhraya MEX menghala ke NPE tanpa kenderaan atau mangsa terbabit.
- Sebuah Proton Persona di Pangsapuri Seri Malaysia turut dihempap pokok; DBKL dan bomba membersihkan dahan, semua laluan dibuka semula.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 2.50 petang.
“Dalam kejadian di Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, empat kereta dihempap sebatang pokok besar yang tumbang sehingga dahannya menghempap bumbung tempat parkir kenderaan.
“Empat kereta dilaporkan terlibat iaitu Perodua Ativa, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya.
Sementara itu tiada kenderaan atau mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian pokok tumbang sehingga menghalang laluan jalan di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE.
Kejadian lain membabitkan sebuah Proton Persona yang dihempap pokok ketika diparkir di bahu jalan di Pangsapuri Seri Malaysia, Kampung Malaysia Tambahan.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut membantu bagi kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba.
“Kesemua laluan jalan yang terhalang berjaya dibuka sepenuhnya untuk kegunaan kenderaan,” katanya.