Kes buli : Murid 12 tahun hampir lumpuh, alami PTSD

Murid perempuan umur 12 tahun hampir lumpuh didakwa akibat dibuli / Foto RTM

KANGAR, 12 Jun – Seorang murid perempuan berusia 12 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan sejak Februari lalu selepas mengalami gangguan Stres Pascatrauma (PTSD) dan hampir lumpuh, didakwa akibat menjadi mangsa buli di sekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah dan Hospital Sultanah Bahiyah susulan masalah kesihatan.
  • Ibu dakwa masalah otot dalaman menyebabkan pergerakan sangat terhad; sinar-X mengesan masalah tulang belakang.
  • Mangsa didakwa dibuli tiga rakan: tarik kerusi, dipaksa buat kerja sekolah rakan, dan dihina secara lisan.
  • Laporan dibuat 25 Februari; aduan kepada JPN Perlis dikemukakan; polis siasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar susulan masalah kesihatan yang dialaminya.

Ibunya, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anaknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah rendah mengalami masalah pada otot dalaman badan sehingga menyebabkan pergerakannya menjadi sangat terbatas.

Menurut Norasikin, beliau mula menyedari perubahan keadaan kesihatan anaknya pada Februari lalu apabila kanak-kanak berkenaan sering mengadu sakit belakang dan lebih banyak menghabiskan masa dengan berbaring.

Katanya, beliau dan suami kemudian meminta anak mereka menceritakan perkara sebenar sebelum mengetahui murid itu didakwa sering dibuli oleh tiga rakan sekelas.

“Dia beritahu kawan tarik kerusi dia dan ada rakan yang selalu suruh dia buat kerja sekolah mereka. Jika dia tidak buat, mereka akan menyakitkan hatinya dengan pelbagai kata-kata. Selepas pemeriksaan di hospital termasuk sinar-X, doktor mengesan terdapat masalah pada tulang belakangnya,” katanya.

Tambahnya, sejak 22 Februari hingga awal Mac lalu, anaknya telah ditahan di wad kerana disahkan menghidap PTSD oleh pakar psikiatri dan mengalami masalah pada otot dalaman badan oleh pakar neurologi.

Menurut beliau, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada 25 Februari lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau turut memaklumkan, aduan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis telah dikemukakan, namun setakat ini masih menunggu hasil siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.