
JOHOR BAHRU, 10 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas satu kontena berisi rokok putih pelbagai jenama bernilai RM8.51 juta, termasuk duti dan cukai, dalam serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, pada 18 Mei lalu.
- Rampasan terbabit merupakan yang terbesar pernah direkodkan oleh JKDM Johor.
- Sindiket dipercayai menggunakan pengikraran tidak benar untuk menyeludup rokok tanpa kastam.
- Kontena diikrar sebagai "Base Paper Reels", dipercayai bergerak dari Vietnam ke United Kingdom.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967; usaha mengesan sindiket dan pemilik gudang giat dijalankan.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, pemeriksaan ke atas kontena tersebut mendapati rokok yang dibawa masuk dari luar negara itu dipercayai sedang dalam transit sebelum dihantar ke sebuah negara di Eropah.
Menurut beliau, modus operandi sindiket dipercayai membuat pengikraran tidak benar terhadap barangan yang diimport bagi menyeludup rokok tidak berkastam.
Berdasarkan siasatan awal, kontena tersebut diikrar sebagai membawa barang dagangan “Base Paper Reels” yang dipercayai dalam perjalanan dari Vietnam ke United Kingdom.
“Rokok merupakan barang larangan import di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Pengimport perlu memiliki lesen import serta setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam mengikut Peraturan 42, Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Johor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, rampasan tersebut merupakan yang terbesar pernah direkodkan oleh JKDM Johor setakat ini dengan 9.32 juta rokok putih bernilai RM2.14 juta disita, manakala anggaran termasuk duti dan cukai terlibat ialah RM6.36 juta.
Katanya, usaha mengesan sindiket yang terlibat serta pemilik gudang berkenaan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan tidak benar di mana jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.