JIM tahan 252 warga asing dalam serbuan di USJ 23, Meru

Foto RTM

SUBANG, 22 Ogos – Seramai 252 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di USJ 23 dan Kompleks Pasar Besar Meru, Klang, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mendapati banyak PATI tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
  • Operasi bersepadu melibatkan JIM Selangor dan Putrajaya bersama JPN, AADK serta APM.
  • Penguatkuasaan akan diteruskan; majikan dan orang awam diingatkan tidak melindungi PATI dan diminta melaporkan maklumat kepada JIM.

Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 710 orang diperiksa dalam operasi tersebut.

Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun, melibatkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, India, Nepal dan Pakistan.

“Indonesia seramai 16 lelaki dan lapan perempuan, Bangladesh 164 lelaki, India tiga lelaki, Myanmar 50 lelaki dan tujuh perempuan, Nepal tiga lelaki serta Pakistan seorang. Jumlah keseluruhan ialah 252 orang,” katanya.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 1.55 pagi itu melibatkan JIM Selangor dan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Majikan dan orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi PATI.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta menyalurkannya kepada JIM.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.