Guru wanita bersama anak maut, MPV terbabas masuk gaung

MPV yang dinaiki tiga sekeluarga terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 149.9 Jalan Kuantan-Seremban, Rompin/Foto Polis

ROMPIN, 22 Ogos – Guru wanita dan anak lelakinya maut selepas MPV dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 149.9 Jalan Kuantan-Seremban, Rompin, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang guru wanita dan anak lelakinya disahkan maut di tempat kejadian.
  • Suami dan pemandu, berusia 47, cedera di kepala dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.
  • Siasatan awal: MPV dipercayai terlanggar kayu di jalan lalu hilang kawalan; mayat dibawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat.

Mangsa, Kartinie Ngatenan, 46, dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suami mangsa, Mohd Azmi Mohajir, 47, yang dipercayai memandu MPV berkenaan, mengalami kecederaan di kepala.

“Ketika tiba di lokasi, MPV itu yang bergerak dari arah Seremban menghala ke Felda Keratong, Rompin, terlanggar kayu di permukaan jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan itu, dua penumpang mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dua beranak maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah MPV malam tadi/Foto Polis

Beliau berkata, pemandu MPV berkenaan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca selepas MPV berkenaan terlanggar kayu di atas permukaan jalan sebelum hilang kawalan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 9 pagi hari ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.