
KUALA LANGAT, 22 Ogos – Sebuah premis di Sijangkang diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas didapati menerima dan menjalankan aktiviti peleraian serta pengasingan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang dikategorikan sebagai buangan terjadual (SW 110).
- Operasi bersepadu 20 Ogos melibatkan JAS Selangor Cawangan Sepang, PDRM, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pejabat Daerah dan Pengurusan Air Selangor.
- Pemeriksaan mendapati premis menjalankan peleraian dan pengasingan e-waste untuk mendapatkan plastik, logam, wayar, papan litar bercetak dan gegelung.
- POK dikeluarkan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; hukuman hingga lima tahun penjara dan denda RM100,000 hingga RM10 juta.
Operasi bersepadu pada 20 Ogos lalu itu melibatkan JAS Selangor Cawangan Sepang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta Pengurusan Air Selangor.
JAS dalam kenyataan berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti peleraian dan pengasingan e-waste bagi mendapatkan bahan plastik dan logam, selain wayar, papan litar bercetak serta gegelung.
“Bedasarkan siasatan penguatkuasaan, premis berkenaan menjalankan perniagaan membeli dan menjual barang lusuh.
“Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dibuat ke atas premis,” menurut hantaran itu di Facebook hari ini.

JAS berkata, pemantauan berkala di lokasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan.
Menurutnya, kesalahan berkaitan buangan terjadual boleh menyebabkan mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.
Orang awam boleh melaporkan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS.