
RANTAU PANJANG, 7 Jun – Cubaan menyeludup kira-kira 2,400 anak pokok pelbagai spesies dari Thailand ke Johor Bahru gagal apabila seorang pemandu lori ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Lubok Gong ke Terusan, petang semalam.
- Rampasan melibatkan anak pokok ciku, lantana, dokong, bidara, kelapa, jambu madu, tampoi dan ciku mega, dianggarkan bernilai RM375,000.
- Anak pokok disyaki mengandungi serangga perosak yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara.
- Semua anak pokok diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk siasatan; kes disiasat bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Rampasan membabitkan anak pokok ciku, lantana, dokong, bidara, ciku mega, kelapa, jambu madu dan tampoi itu dianggarkan bernilai RM375,000.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan termasuk sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut tanaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori berkenaan menemukan 2,400 anak pokok pelbagai spesies yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand.
“Anak-anak pokok disyaki mengandungi serangga perosak yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Radzi berkata suspek mengambil semua anak pokok itu dari sebuah nurseri di Rantau Panjang sebelum menghantarnya ke Muar, Johor Bahru.
Katanya, semua anak pokok yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.