Buih di lebuh raya KESAS dipercayai sisa sabun – Polis

Foto Facebook Baharom Cek Mat

SHAH ALAM, 3 Sept – Kemunculan buih di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Kilometer (KM) 30 hingga KM30.5 arah Klang ke Kuala Lumpur di sini hari ini dipercayai berpunca daripada sisa tumpahan sabun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpahan dipercayai berasal dari sebuah lori pada 24 Ogos di susur Kota Kemuning sebelum memasuki Lebuhraya KESAS.
  • Pihak bomba menabur serbuk kayu di sepanjang sisa tumpahan pada hari kejadian.
  • Hujan lebat menyebabkan tumpahan tersebut menghasilkan buih sepanjang kira-kira 500 meter.
  • Pihak konsesi melakukan pembersihan kali kedua dan selesai pada 4.58 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata ia dipercayai tumpah dari sebuah lori pada 24 Ogos lepas di susur Kota Kemuning sebelum masuk ke Lebuhraya KESAS menghala ke Klang.

“Pihak bomba juga telah mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang sisa sabun yang tumpah di lokasi pada hari sama.

“Bagaimanapun, hujan lebat hari ini menyebabkan sisa tumpahan sabun berkenaan mengeluarkan sejumlah buih sepanjang kira-kira 500 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata susulan kejadian itu, pihak konsesi lebuh raya telah mengambil inisiatif melakukan kerja pembersihan kali kedua dan selesai pada 4.58 petang.

Terdahulu tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan buih dapat dilihat di sebahagian kawasan Lebuhraya KESAS hari ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.