
PADANG TERAP, 13 April – Hujan lebat disertai angin kencang di Felda Lubuk Merbau mengakibatkan 19 kediaman dan premis perniagaan rosak , petang tadi.
- Bumbung rumah dan struktur kedai dilaporkan diterbangkan angin.
- Anggota APM dikerahkan membantu memindahkan serpihan bumbung dan mengalihkan pokok tumbang.
- Tiada kecederaan dilaporkan; pihak berkuasa meneruskan pemantauan dan bancian kerosakan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, bumbung rumah dan struktur kedai penduduk dilaporkan diterbangkan angin.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap, Lt. (PA) Roshidi Kassim @ Md Rejab memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sejam kemudian sebelum menggerakkan anggota ke lokasi bagi bantuan pemantauan.
“Anggota kami telah dikerahkan bagi membantu memindahkan serpihan bumbung serta mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan utama penduduk di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam musibah berkenaan.
Ketika ini pihak berkuasa tempatan masih meneruskan pemantauan di tapak kejadian, manakala bancian terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kerugian serta premis yang terkesan.