
GEORGE TOWN, 5 September – Lima premis perniagaan di kawasan ikon warisan Pulau Pinang, Jeti Chew, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
- Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
- Kebakaran melibatkan bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.
- Tindakan pantas bomba menyelamatkan stesen minyak berdekatan dan mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan perumahan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Pegawai Operasi Zon 1, Daerah Timur Laut, Penolong Penguasa Bomba Rusli Ibrahim berkata, kebakaran melibatkan bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 1.08 pagi, sebelum tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian.
“Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan stesen minyak berdekatan serta mengelakkan api daripada merebak ke kawasan perumahan sekitar lokasi kejadian.
Kebakaran merebak dengan cepat kerana premis terbabit merupakan bangunan kelas C, menyebabkan api mudah merebak dari satu kedai ke kedai yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman melibatkan kira-kira 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Perak dan Lebuh Pantai, selain dibantu kira-kira 17 anggota bomba sukarela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.