
NILAI, 14 Mac – Polis menahan 11 individu warga Myanmar dalam satu serbuan di sebuah premis pusat hiburan tanpa lesen di Taman Semarak 2, Nilai petang semalam (Jumaat).
- Serbuan dijalankan Bahagian D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah sekitar pukul 3.30 petang.
- Dua lelaki dan sembilan wanita berumur 19 hingga 53 tahun ditahan.
- Premis beroperasi sebagai pusat hiburan tanpa lesen dan menggaji warga asing sebagai GRO.
- Rampasan termasuk tablet karaoke, mikrofon, sistem audio, televisyen dan 49 tin minuman keras tidak bercukai; kes disiasat bawah undang-undang hiburan, imigresen, kastam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.
Menurutnya, hasil serbuan tersebut, dua lelaki dan sembilan wanita berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan.
Siasatan awal mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen yang sah serta menggaji warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Dalam operasi sama, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti hiburan termasuk tablet pemilih lagu karaoke, mikrofon, sistem audio, televisyen serta buku catatan perniagaan.
Selain merampas 49 tin minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.
Siasatan awal turut mendapati premis tersebut mengenakan bayaran RM10 sejam bagi setiap GRO yang menemani pelanggan di dalam bilik karaoke.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa individu menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja, manakala terdapat juga individu yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen, selain Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Turut disiasat ialah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan pemilikan minuman keras tidak bercukai.