JOHOR BAHRU, 7 Februari- Mahkamah Majistret Johor Bahru menetapkan denda RM3,500 terhadap seorang tukang masak selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke atas dua kereta milik seorang lelaki, bulan lalu.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Rianovent Teo Chin Xi, 30 tahun yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah ke atas dua kereta milik seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian RM500.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Perling di sini 5.00 petang, 26 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, tertuduh sama membuat pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan cara sama ke atas dua buah rumah di Johor Bahru, 10 dan 25 Januari lalu.
Pengakuan dibuat dihadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
21 Mac depan sebagai tarikh sebutan, bagi serahan dokumen.