JOHOR BAHRU, 3 Januari - Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan pecah rumah secara bersama, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Teo Khiam Hong, 48 tahun, Liew Siong Khan, 42 tahun, Mah Mun Fei, 46 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama melakukan pecah rumah dengan niat ingin mencuri di sebuah rumah di Taman Mount Austin, di sini kira-kira pukul 8.20 malam 11 Disember lalu.
Tertuduh Teo Khiam Hong berdepan lima lagi pertuduhan manakala dua lagi tertuduh didakwa melupuskan harta curi berupa barang kemas dan memiliki kad pengenalan individu lain.
Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 ,Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM7,000 sehingga RM25,000.
Sementara itu, dalam porisiding berasingan di Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, 12 Disember lalu.
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hazelia Muhammad.
Kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Siti Aisyah Latiff dan Nurul Syafiqah Sha'ari.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 sehingga 7 Februari depan.