fb fb fb fb fb

Tiada kompromi buat pelaku gangguan seksual - Naib Canselor UM

UM

KUALA LUMPUR, 21 Disember- Universiti Malaya (UM) memandang serius isu gangguan seksual susulan kes membabitkan seorang pensyarah universiti itu yang kini dalam siasatan polis, tegas Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan pelaku kesalahan tersebut diambil tindakan pantas tanpa mengambil kira jawatan atau status.

"UM sememangnya memandang serius tentang perkara ini. Komitmen kami termaktub dalam Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual di UM yang boleh dimuat turun melalui Kod QR sebagai satu usaha sebar luas pemakaian kod tersebut.

"Kod ini telah disemak dan ditambah baik yang mana eksesais telah melibatkan pelbagai pihak seperti wakil pelajar, wakil kesatuan, wakil NGO yang berkaitan dengan anti gangguan seksual, wakil polis dan peguam bagi mendapatkan input yang menyeluruh,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Noor Azuan berkata UM juga telah mendengar pandangan kumpulan pelajar dikenali sebagai 'UM Feminism Club' mengenai tinjauan dan dakwaan mereka bahawa satu daripada lima pelajar universiti itu pernah mengalami gangguan seksual.

"Semakan yang dijalankan bersama pakar dalam bidang pengajian gender daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial berkaitan penemuan ini mendapati beberapa kelemahan wujud dalam aspek metodologi dan pensampelan yang memerlukan penelitian lanjut.

"Sesi penyerahan maklum balas bersama UM Feminism Club juga telah dibuat bersama kumpulan berkenaan pada 24 Mei 2024 bagi mendapatkan data serta bukti lain, namun sehingga kini bahan-bahan tersebut masih belum diterima oleh pihak universiti," katanya.

Justeru, beliau berkata pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu disahkan tidak berasaskan kajian menyeluruh serta data tidak sahih.

"Saya memandang serius tuduhan dari alumni pengajian gender yang mendakwa bahawa seorang daripada setiap lima individu di UM mengalami gangguan seksual. UM perlu mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, sekiranya dakwaan tersebut didapati tidak berasaskan data dan fakta yang tepat," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azuan memaklumkan bahawa UM telah dimaklumkan bahawa kes melibatkan seorang pensyarah bergelar profesor sedang disiasat oleh polis dan UM bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan.

"UM juga berhasrat untuk menjalankan siasatan dalaman dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bukti yang kukuh untuk dimulakan," katanya.

Sehubungan itu, UM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terutama mangsa agar tampil ke hadapan bagi membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

UM juga menyediakan platform di laman web https://umintegrity.um.edu.my bagi membantu mangsa melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan dapat diambil dengan sewajarnya.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA