fb fb fb fb fb

Polis buru penyokong bola sepak bertindak agresif di LRT Bandar Tasik Selatan

Dua kumpulan penyokong bola sepak merusuh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi/Video tular Facebook Elyana Chan

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 12 tengah malam dan membabitkan 20 hingga 30 individu yang bertindak agresif sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam.

“Mereka bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren, menendang pintu tren mengakibatkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren,” katanya.

Insiden tersebut menyebabkan tren tergendala selama kira-kira lapan minit sebelum pergaduhan berjaya dileraikan oleh pihak polis bantuan yang bertugas di lokasi kejadian.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan melakukan khianat.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam provokasi sehingga menyebabkan pergaduhan di kawasan awam,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN