fb fb fb fb fb

Insiden gaduh penyokong bola sepak, Prasarana buat laporan polis

Tangkap layar menunjukkan kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, malam tadi. Foto tular media sosial

KUALA LUMPUR, 21 Disember-Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat laporan polis berhubung kejadian gaduh dipercayai meibatkan sekumpulan penyokong bola sepak yang berlaku di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang Sri Petaling pada tengah malam tadi (Jumaat).

Dalam satu kenyataan media oleh syarikat berkenaan, pihaknya telah bekerjasama dengan pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.

Prasarana turut memaklumkan pihaknya kesal berhubung kejadian tersebut dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.

"Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.

"Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut.

"Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya", jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, Prasarana turut memaklumkan pihaknya komited memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

"Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami", jelas Prasarana lagi.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.

Video tular itu memaparkan tindakan agresif kumpulan lelaki berkenaan berada di luar sebuah tren LRT dengan kumpulan lelaki di dalam tren terbabit.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD