TELUK INTAN, 21 Disember - Seorang peniaga berdepan tindakan undang-undang kerana menyorok dan enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak peket bersubsidi kepada pembeli.
Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan di sebuah kedai runcit di Teluk Intan pada pukul 11.00 pagi semalam.
Tindakan tersebut hasil risikan dan penyamaran menerusi OPS SAMAR.
"Semasa uji beli dilakukan, jurujual di kaunter memaklumkan bahawa minyak masak peket 1 kilogram (kg) telah kehabisan stok.
"Susulan kenyataan itu, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa kemudiannya masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh," menurut Kamalludin dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan di stor milik premis tersebut menjumpai minyak masak peket 1 kg anggaran sebanyak 13 kg disimpan di dalam sebuah tong sampah.
Berikutan penemuan itu, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.
Sebanyak 13 kg minyak masak peket yang ditemui disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM32.50
Siasatan lanjut kes akan dijalankan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.