fb fb fb fb fb

UM jalankan siasatan aktif kes gangguan seksual - KPT

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 21 Disember - Unit Integriti Universiti Malaya (UM) sedang menjalankan siasatan secara aktif berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang pensyarah universiti tersebut.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya oleh UM.

" Universiti tidak pernah mengambil ringan laporan sebegini. UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak," menurut kenyataan tersebut.

KPT berkata individu yang dikaitkan juga telah membuat laporan polis dan siasatan turut dijalankan pihak berkuasa.

"Sebarang tindakan yang diambil mestilah selaras dengan undang-undang sedia ada kerana langkah yang melanggar tatacara perundangan akan mencabuli proses siasatan," kata kenyataan itu lagi.

Kementerian dan UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang dan tindakan tatatertib yang tegas akan diambil.

TETITIA YUSOFF