JOHOR BAHRU, 22 Disember - Seorang peniaga buah kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Julai lalu.
Tertuduh Loong Kam Faht, 35 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah merogol remaja perempuan berusia 14 tahun tujuh bulan, pukul 10.30 pagi pada 2, 9 dan 29 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan di bilik sewa sebuah hotel di Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi, Johor Bahru, Johor.
Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Syufri A. Samad.
Mahkamah menetapkan 4 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan jaminan ditawarkan sebanyak RM20,000 berserta tiga syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi untuk ketiga-tiga pertuduhan.