SEREMBAN, 2 Oktober - Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas murid lelaki tahun empat yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang, di sini semalam adalah disebabkan tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata proses bedah siasat yang dijalankan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau hari ini juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.
"Setakat ini 27 keterangan telah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan semasa mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli.
Orang ramai juga digesa agar memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan.
Ia dengan mengambil kira sensitiviti melibatkan kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, memandangkan siasatan turut melibatkan saksi dalam kalangan kanak-kanak.
Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 1.19 tengah hari semalam ketika murid itu sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.
BERITA BERKAITAN: