SHAH ALAM , 2 Oktober - Polis Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket dadah selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM8.4 juta dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kajang dan Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata dalam operasi tersebut pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 106 kilogram (kg) terdiri daripada ketamin (63.7 kg), ekstasi (27.7 kg), bunga ganja (12.3 kg) dan syabu (2.5 kg) dengan nilai sitaan barangan lain berjumlah RM149,540.
Serbuan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan yang dalam keadaan mencurigakan menarik bagasi di sekitar KLIA2.
"Hasil pemeriksaan awal ke atas bagasi berkenaan menemui dadah dipercayai jenis ganja seberat 12.3 kilogram. Siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai 16 rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah serta narkotik. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah.Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM432 ribu, dan dipercayai untuk dihantar ke luar negara." kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.
Pada hari yang sama sekitar pukul 7.30 malam, polis turut merampas 25.6 kilogram ekstasi yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan di Sekinchan, Kuala Selangor.
Hasil risikan susulan, pada 26 September sekitar pukul 10.30 malam, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dipercayai individu yang melarikan diri selepas meninggalkan kenderaan berisi dadah di Sekinchan sebelum ini.
"Semakan mendapati suspek bekerja tetap, tidak mempunyai rekod lampau, dan ujian saringan air kencing adalah negatif.Bagi kes kedua ini, nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM4.3 juta dan dipercayai untuk dihantar ke negara jiran. Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988, di mana polis menyita sebuah kereta Perodua Axia bernilai kira-kira RM22 ribu serta wang tunai sebanyak RM540." kata beliau.
Bagi kes ketiga, dua warga asing masing-masing berusia 35 dan 36 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan ditahan di sebuah pangsapuri di Kajang.
"Pemeriksaan membawa kepada rampasan 47 kilogram ketamin, 2 kilogram ekstasi, dan 16.7 kilogram ketamin tambahan daripada sebuah kereta Toyota Harrier. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3.5 juta.Polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Lexus GS250 dan Toyota Wish."
Pemeriksaan lanjut di rumah sewa suspek menemukan dadah disyaki jenis ekstasi seberat dua kg yang kemudiannya membawa kepada serbuan ke atas sebuah kereta di kawasan rumah sama dan menemukan 16.7 kg dadah jenis ketamin dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM3.5 juta.
Bagi kes keempat pada 26 September, polis KLIA menahan satu bungkusan parcel berisi 2.5 kilogram syabu yang disorok dalam tabung ekzos motosikal.
Hasil siasatan lanjut, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan di Hulu Langat dengan nilai rampasan mencecah RM80,000 dan suspek didapati mempunyai dua rekod lampau selain positif amphetamine dan methamphetamine.
" Suspek berusia 25 tahun itu mempunyai dua rekod lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Analisis lanjut menunjukkan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mencecah 106 kilogram, yang mampu dibekalkan kepada kira-kira 850,000 pengguna pada satu-satu masa." jelas beliau.
Kesemua suspek direman tujuh hingga 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.