GUA MUSANG, 2 Oktober - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas haram dalam Op Bersepadu Khazanah di kawasan Sungai Kelaik, awal pagi semalam.
Menurut hantaran di laman Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi, serbuan yang dijalankan pukul 4 pagi itu, pasukan PGA menahan 12 individu berusia 21 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita warga Indonesia.
"Kesemua mereka gagal menunjukkan lesen melombong emas yang sah. Pemeriksaan lanjut mendapati tiga warga Indonesia tinggal melebihi tempoh, manakala lima lagi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
"Turut ditahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang dipercayai pemilik lombong haram tersebut," menurut hantaran tersebut.
Polis merampas pelbagai peralatan melombong termasuk sebuah jentera berat jengkaut, mesin pam air serta peralatan lain dengan anggaran keseluruhan bernilai RM520,000.
Kes disiasat mengikut Enakmen Mineral 2001 serta Akta Imigresen 1959/63. Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan serta Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.
FOTO FB Briged Tenggara PGA Rasmi