fb fb fb fb fb

Polis siasat kes kematian murid tahun empat bawah Seksyen 507C

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut/RTM

SEREMBAN, 2 Oktober – Polis sedang menyiasat kes kematian seorang murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di sini semalam, bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.19 tengah hari ketika mangsa berusia 10 tahun sedang menerima rawatan di sebuah klinik berdekatan.

“Mangsa yang dihantar ke klinik oleh guru disiplin sekolah berkenaan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan proses bedah siasat dilakukan di Hospital Rembau pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang mula berkuat kuasa 11 Julai lepas, merupakan pindaan undang-undang baharu yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan membuli.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.

“Kementerian Pendidikan pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan,” katanya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI