KOTA TINGGI, 2 Oktober -Sebuah bot kargo sarat dengan muatan bijih timah bernilai RM3.7 juta telah ditahan di 1.5 batu nautika, Timur Laut Tanjung Punggai, di sini kira-kira pukul 4.45 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad Othman dalam kenyataan berkata, turut ditahan ialah empat kru warga Indonesia yang berusia 26 hingga 55 tahun.
"Pemeriksaan mendapati mereka membawa 530 guni disyaki bijih timah, seberat hampir 26,500 kilogram (kg). Nilai keseluruhan rampasan termasuk barang muatan dan bot, dianggarkan mencecah RM4.5 juta," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam serta Akta Imigresen 1963 kerana dokumen pengenalan diri yang meragukan.