PASIR PUTEH, 2 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 550,000 batang rokok putih menggunakan bot fiber dalam operasi berhampiran Kuala Kemasin, Bachok pada Selasa.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan modus operandi baharu dengan membawa masuk rokok dalam kuantiti kecil menggunakan bot fiber bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain itu, sindiket turut menggunakan khidmat ‘tonto’ yang ditempatkan di lokasi strategik untuk memantau pergerakan anggota keselamatan.
“Berdasarkan maklumat risikan, rondaan operasi bawah Op Naga Damai dan Op Tiris telah digerakkan ke lokasi kejadian. Aset yang diaturgerakkan mengambil masa 20 minit untuk tiba di Kuala Kemasin.
“Setibanya di lokasi, anggota membuat pencarian dan menemui sebuah bot fiber berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran yang telah ditinggalkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Kelantan, hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 55 bungkusan plastik lutsinar berisi rokok putih dipercayai untuk pasaran tempatan. Tiada individu ditemui di lokasi, dipercayai suspek melarikan diri sebelum kehadiran anggota Maritim.
Keseluruhan rampasan termasuk bot fiber terbabit dianggarkan bernilai RM400,000.
“Semua rampasan termasuk bot dibawa ke Pejabat Maritim Kelantan kira-kira pukul 7 pagi untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tidak bercukai dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana memiliki bot tidak berdaftar.