MELAKA, 2 Oktober -Polis Melaka berjaya menumpaskan tiga kumpulan jenayah yang dipercayai aktif dalam kes curi rumah, masjid, surau dan kenderaan menerusi Operasi Pintu dan Lejang Khas 2025 yang dijalankan antara 22 hingga 28 September lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan berkata, kumpulan tersebut dikenali sebagai Geng Ahtee, Geng Ahsoon Pekong dan Geng Abang Wan yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan curi di beberapa lokasi sekitar negeri itu.
"Seramai 12 individu berusia 13 hingga 46 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut. Hasil ujian saringan awal air kencing sembilan daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine," katanya menerusi kenyataan itu.
Siasatan mendapati ketiga-tiga kumpulan itu menyasarkan rumah, masjid dan surau yang tidak berpenghuni serta kenderaan terpakai yang ditinggalkan di kawasan sunyi dan berisiko rendah sebelum mencurinya.
Dalam operasi tersebut polis turut merampas empat buah kereta, enam buah motorsikal, lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang serta peralatan pecah rumah dan curi kenderaan.
"Dengan penahanan tersebut, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di sekitar Melaka," katanya lagi.
Kesemua suspek disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.