KUALA LUMPUR, 7 Januari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu, termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan dipercayai terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan sekitar ibu negara.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan pada Isnin, antara pukul 12 tengah hari hingga 11 malam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Penahanan tersebut hasil siasatan SPRM terhadap seorang ejen yang sebelum ini diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimanapun, keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil,” kata sumber itu.
Dua lagi individu telah dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 11 Januari 2025.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
“Setakat ini, sembilan individu telah ditahan, dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan bagi membantu siasatan,” katanya.