fb fb fb fb fb

Sindiket curi susu formula di tiga negeri tumpas

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit menunjukkan antara susu formula yang dirampas selepas menahan empat ahli ‘Sindiket Susu Borneo’

MELAKA TENGAH, 14 Ogos – Polis menumpaskan sindiket mencuri susu formula kanak-kanak selepas menahan empat individu, di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kumpulan dikenali sebagai ‘Sindiket Susu Borneo’ itu dipercayai aktif sejak 2011.

Jelas beliau, dalam tempoh seminggu sahaja kumpulan berkenaan telah melakukan kecurian di 12 pasar raya di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Semua suspek berusia 23 hingga 50 tahun itu adalah penganggur, membabitkan dua lelaki dari Sabah serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi menyamar sebagai pelanggan. Seorang suspek wanita mengambil dan menyembunyikan susu formula di dalam baju serta seluar di bahagian pinggang dan celah kelangkang.

Dua lelaki mengawal lorong di dalam premis, manakala seorang lagi memantau di luar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, hari ini.

Jelas beliau, serbuan pada pukul 12.05 tengah malam itu membawa kepada rampasan 71 kotak, 15 peket, 12 tin susu pelbagai jenama serta 22 peket minuman bernilai lebih RM12,600.

Turut dirampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), empat telefon bimbit, pakaian diubah suai, topi, kasut, pita pelekat, plastik sampah dan beg kain yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

ACP Christopher memaklumkan, tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi, dadah dan mendatangkan kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN