fb fb fb fb fb

Siasatan kes Namewee ikut garis panduan undang-undang, elak siasatan tergesa-gesa

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/RTM

PUTRAJAYA, 6 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan mengikut prosedur ditetapkan sebelum mengklasifikasikan kes kematian melibatkan individu dikenali sebagai Namewee sebagai kes bunuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setiap siasatan perlu melalui beberapa peringkat termasuk proses pengambilan kenyataan awal daripada saksi-saksi sebelum pengkelasan akhir dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang bersesuaian.

Beliau menjelaskan, langkah itu penting bagi memastikan setiap kes dikendalikan secara profesional dan berpaksikan bukti, tanpa sebarang keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

“Langkah paling penting adalah proses pengkelasan dan ia dibuat selepas kenyataan awal daripada saksi diambil. Dari situ, barulah pengkelasan dilakukan di bawah akta dan seksyen yang sesuai, kadang-kadang dibaca bersama beberapa seksyen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Wira Madani 2025 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, selepas pengkelasan awal dibuat, hala tuju siasatan akan dibincangkan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang.

“Kadang-kadang satu, dua atau tiga hala tuju siasatan dipertimbangkan sebelum kes dimuktamadkan. Ini kaedah yang digunakan polis bagi memastikan siasatan menegakkan kebenaran dan keadilan,” jelasnya.

Beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memberi keutamaan kepada ketelusan dan ketepatan dalam setiap siasatan jenayah bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap pasukan polis.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN