fb fb fb fb fb

Sekongkol dengan sindiket petrol, diesel, lelaki didenda RM30,000

Foto KPDN Kedah

ALOR SETAR, 21 Jun- Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dikenakan hukuman denda sebanyak RM30,000 kerana menyimpan barang kawalan iaitu petrol dan diesel di dalam premisnya yang menimbulkan syak munasabah.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar Roslan Hamid.

Roslan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 16 April 2023, tertuduh didapati ada dalam kawalannya barang kawalan iaitu minyak petrol dan diesel di dalam premisnya yang menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil jualan barang rampasan telah dijadikan hasil kerajaan, sebuah kenderaan yang disita telah dilucut hak kepada kerajaan dan lain-lain barang kes telah diserahkan kepada pendakwaan untuk pelupusan.

Pada masa sama beliau mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan dikenakan tindakan tegas serta amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan kepada pejabat KPDN terdekat untuk tindakan selanjutnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI